Tuesday, January 26, 2010

Air Mata Lelaki

Hari ini saya terbaca tentang kisah seorang lelaki yang mengalirkan air matanya kerana seorang wanita. Bukan kerana ditinggalkan kekasih atau kekasih disambar jejaka lain. Tetapi menangis kerana bekas kekasih yang kononnya memfitnah diri beliau atas sifat dan kelakuan buruknya terhadap wanita tersebut semasa mereka masih di alam percintaan. Lelaki ini dituduh mengasari wanita tersebut serta bersikap panas baran. Persoalannya, mengapa baru sekarang isu ini dibangkitkan? Jika benar pun, bukti sudah terpadam dek masa yang sekian lama. Yang tinggal hanyalah kesan lebam di hati wanita tersebut. Nampaknya lebam di hati sudah menjadi barah. Bukan barah hati. Tapi barah dendam.

Lelaki ini saya sifatkan memiliki sifat kejantanan yang cukup sempurna. Dari susuk tubuhnya yang tampak gagah dan raut wajahnya umpama lelaki melayu sejati yang bisa mencairkan hati wanita. Lelaki melayu terakhir mungkin. Wajarkah beliau menangis gara-gara kata-kata nista yang dilemparkan wanita berhati lebam ini? Dimanakah ego beliau sebagai lelaki sehingga membenarkan wajah yang dihujani gerimis disertai guruh di hati ditatap sekalian manusia? Memang benar air mata tak perlu ditahan. Lelaki juga bisa menangis. Mungkin lelaki ini percaya dengan lirik lagu dari 'The Lucky-Lucky'. "Aku bukanlah superman, aku juga bisa nangis". Lirik ini mungkin berkumandang di telinga beliau sebagai penguat semangat ketika beraksi sebegini. Namun, atas motif apakah lelaki ini menghujankan dirinya? Apa tidak bisakah gerimis mengundang itu disembunyikan? Jujur? Mengharapkan simpati? Tidak betah? Emosi tak terkawal? Atau mengharapkan pelangi girang tujuh warna terbit di ufuk mentari selepas hujan?
Mungkin.

Saya suka mengambil contoh seorang teman saya. Seorang lelaki yang tidak bisa lagi mengalirkan air matanya kerana sudah mengunci perasaannya. Wajarkah lelaki tadi mengikut jejak langkah lelaki ini?

Ini bukan kisah wanita yang sinonim dengan air mata. Juga bukan kisah air mata duyung yang menjadi lagenda.

4 comments:

  1. krn laki juga punya perasaan..

    ReplyDelete
  2. perlu diletakkan di tempat yg betul..

    ReplyDelete
  3. lelaki tak layak beremosi. saya serahkan kelayakkan itu seluruhnya kepada wanita. kerana mereka lebih berhak.

    ReplyDelete
  4. bagi sy lelaki layak menangis,sy suka tgk llki menangis krn separuh egonya dh runtuh,marvelluos

    ReplyDelete